Inilah antara cerita lisan yang saya
kutip … Mengikut cerita yang saya dengar daripada orang tua saya pada suatu
masa dahulu berhubung kisah Megat Panji Alam. Nama salah satu tempat di
sempadan Terengganu dan Pahang ialah Cherating. Kononnya nama itu bermaksud
Cerai Dan Tinggal. Disitulah tempat terakhir Megat Panji Alam berhenti sebelum
meneruskan perjalanan ke Pekan. Setibanya rombongan Megat Panji Alam sampai di
situ, Megat Panji Alam tidak jadi lagi untuk melangkah kaki ke Pekan kerana
pada firasatnya seperti mana pesan ayahandanya sebelum berangkat. Kerana
ayahandanya dari awal lagi tidak bersetuju atas sebab Tun Teja hanyalah anak
pembesar Pahang dan bukannya anak raja Pahang. Ada baiknya berbesankan anak
raja Patani. Dengan itu, Megat Panji Alam meminta pembantunya meneruskan
perjalanan ke Pekan dan bertemu dengan Tun Teja untuk tujuan memutuskan
pertunangan secara rasmi. Berita mengenai Megat Panji Alam sendiri akan datang
bertemu Tun Teja kerana main kayu tiga dengan orang Melaka telah sampai ke
keluarga Tun Teja. Lalu dikatakan kerana kegusaran Tun Teja, cerita kehebatan
Megat Panji Alam dalam persilatan yang kononnya akan mengamuk kerana tunangnya
diusik orang itu sampai kepada orang Melaka iaitu Hang Tuah. Hang Tuah telah
bersedia untuk memastikan Megat Panji Alam ditamatkan riwayatnya sebelum sempat
berbuat apa-apa. Malangnya yang dibunuh oleh orang Melaka itu ialah pembantu
Megat Panji Alam yang tidak tahu akan perancangan yang begitu brutal hingga
sanggup melakukan tikam curi semata-mata kerana mengacau-ganggu tunangan orang
itu. Kematian pembantu Megat Panji Alam itu telah dianggap sebagai kematian
Megat Panji Alam kerana orang Pahang tidak begitu ingat atau mengenali Megat
Panji Alam. Selepas Megat Panji Alam mendapat berita kematian pembantunya itu,
Megat Panji Alam meneruskan perjalanan pulang dari tempat tersebut, Cherating.